POKOK KARI

Pokok Kari

 


PENGENALAN

 

Pokok Kari (Murraya koenigii) adalah sejenis tumbuhan jenis renek yang diambil daunnya untuk djadikan bahan masakan terutamanya masak kari. Tumbuhan tropika dari keluarga Rutaceae ini dipercayai natif di India dan Sri Lanka tetapi ia juga sesuai untuk tumbuh di negara kita Malaysia sebagai tanaman keliling rumah yang sangat penting.

Daun kari yang dipetik mempunyai bau yang sangat kuat dan ia mempunyai rasa yang pahit jika dimakan segar. Selain daripada digunakan sebagai campuran dalam masakan gulai kari, daun kari juga digunakan dalam masakan lain seperti rasam, chutney, maruku dan banyak lagi.

 

 

 

MORFOLOGI / CIRI-CIRI

 

Pokok Kari adalah jenis tumbuhan renek yang tumbuh menegak dengan beberapa cabang dan boleh mencecah ketinggian sehingga 4 - 6 meter. Bagaimana pun ketinggian ini dapat dikawal dengan menanamnya dalam pasu yang mudah kita petik dan dijadikan macam tanaman 'bonsai' (Lihat foto sebelah). Batangnya berkayu dengan ukurlilit batang mampu membesar sehingga 40 cm dan mempunyai kulit berwarna coklat kehijauan bergantung kepada kedudukan batang atau cabang. Daun pokok kari berada dalam tangkai daun dengan bentuk daun dikenali sebagai 'pinnate' dan susunan bertentangan pada tangkai. Warna daun adalah hijau dan agak berkilat. Ukuran saiz daun sekitar 1-2 cm lebar dan 2-4 cm panjang. Bahagian daun ini adalah bahagian paling penting pada tumbuhan untuk diambil dan digunakan.

 Pokok kari dewasa mempunyai bunga bersaiz kecil dengan kedudukannya didalam jambak bunga. Bunganya berwarna putih dan ia mengeluarkan bau harum yang kuat apabila kembang penuh. Bunga ini ada yang dikutip untuk dijadikan pelbagai tujuan tetapi apabila berlaku proses pendebungaan, maka pokok kari akan menghasilkan buah berbentuk buah berry kecil berbentuk bulat yang lazimnya berwarna kehitaman.

Didalam buah tersebut terdapat beberapa biji halus yang dikatakan beracun dan tidak boleh dimakan. Biji ini boleh dikutip dan dijadikan benih untuk penanaman walau pun ia jarang-jarang dibuat sendiri dirumah.

Lazimnya pembiakan pokok kari boleh dibuat dengan 'keratan batang' atau pun paling mudah dengan mengambil anak pokok yang terdapat di sekeliling pokok kari.

 

Daun kari yang matang boleh dipetik dengan mengambil setiap helai daun dan meninggalkan tangkai daun atau memotong sahaja pelepah daun yang terdapat pada pokok. Daun yang dipetik boleh terus digunakan dalam masakan atau tujuan lain tetapi jika kita hendak menyimpannya, sila masukkan daun tersebut didalam plastik jernih dan simpan dalam peti sejuk. Ia boleh tahan melebihi 2 minggu dalam keadaan yang masih segar dengan aroma yang kuat. Kari Ayam, Kari Ikan, Kari Daging atau pelbagai jenis kari lain yang dimakan dengan nasi, roti canai atau pun roti bertambah enak dengan aroma dari daun kari.

 

SUMBER

http://animhosnan.blogspot.com/2017/02/pokok-daun-kari.html

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini